Thursday, September 22, 2011

Hakikat Sebuah Kecantikan.


Sering kali kita memperkatakan tentang kecantikan. Hari ini seolah-olah satu perlumbaan bagi syarikat-syarikat kecantikan mengeluarkan produk mereka. Dan tampaknya masyarakat juga berselera dengannya dan boleh diumpakan produk ini seperti pisang goreng panas ketika ini. Ada yang sanggup mengorbankan ribuan ringgit malahan ada juga sehingga angka jutaan semata-mata inginkan sebuah kecantikan. Malangnya ada yang tidak berhasil.Wajah seperti biasa.Tiada perubahan. Ketika itu mulalah rasa kecewa dan hampa. Suami mula menjauhi. Jodoh masih belum menghampiri. Saat itulah syaitan mula menyelinap senyap dalam kalbu seorang insan. Syukur sudah tidak berada di atma. Yang ada Cuma satu persoalan kenapa Allah  jadikan aku tidak secantik mereka. Kenapa Allah tidak ciptakan wajahku secerah sang suria. Kenapa dan terus kenapa? Namun persoalannya  apakah itu kecantikan sebenarnya?Adakah semua orang mengerti?

TAFAKUR BERSAMA ALAM

Ketika aku melihat samudera nan membiru,aku kagum atas ciptaannya. Sangat indah. Namun pabila ku hadir semula ke lokasi itu, di tempat yang sama aku lihat wajah samudera tidak seindah dulu.Aku menatap dengan penuh syahdu lautan yang dulunya tenang kini dikocakkan oleh tangan-tangan manusia yang tidak budiman. Lautan dikotori oleh minyak-minyak dan sampah-sampah. Ketika itu aku mula terfikir kecantikan itu boleh hilang rupanyanya.Bagaimana?

DEFINISI CANTIK MENGIKUT TEMPAT DAN BUDAYA

Kalau di barat sekarang, the thinner the better, tapi berbeza pula di Mauritania, Africa, the bigger the better. Orang di barat berperang dengan aneroksia dan bulimia akibat mahu kurus, sebaliknya di 

Mauritania, wanita mengamalkan 'makan paksa' sejak berumur 5-6 tahun untuk gemuk, agar menjadi cantik dan mudah mendapat jodoh.

Satu kaum di Thailand menganggap leher panjang itu cantik, lantas sejak dari umur 5 tahun lagi, mereka sudah dipakaikan gelang logam di leher agar leher mereka akan menjadi semakin panjang dan panjang dan panjang justeru mereka cantik dan mudah mendapat jodoh.

Di Sarawak pula, suku kaum Oran Ulu menganggap telinga panjang itu sangat cantik pada mata mereka, lagi panjang, lagi cantiklah seseorang wanita itu pada pandangan mereka.

Di Mexico, kaum wanita menghabiskan separuh dari gaji mereka untuk kecantikan seperti ke salun, malahan ada juga pakej bayar secara ansuran untuk pembedahan plastik.

Atau di Iran, pembedahan hidung sangat popular di sana.
Wanita Iran sanggup berkorban wang ringgit demi mendapatkan hidung yang diidam-idamkan lantaran kata mereka, hidung mereka besar.

CANTIK ITU SUBJEKTIF

Junjungan besar kita juga ada berpesan Allah itu cantik dan Allah itu suka akan kecantikan. Jadinya sudah tentu secara fitrah Allah tidak akan ciptakan manusia dalam keadaan yang tidak cantik dan tidak indah. Namun apa yang perlu kita fahami  sekarang ialah di mana letaknya sebuah kecantikan itu. Apa yang cuba saya sampaikan di sini ialah cantik itu ialah satu bidang yang sangat subjektif. Kepada orang yang beriman cantik itu di sisinya ialah orang yang memperhambakan dirinya kepada tuhan. Bagi orang yang berakhlak, mereka akan kata kan orang yang tinggi nilai budi dan akhlaknya sewajarnya digelar cantik. Pada pandangan insan yang melihat kecantikan dari sudut luaran ataupun jasadi maka mereka akan melihat sebuah kecantikan itu diukur kepada cantiknya seri wajah dan bentuk badan yang diimpikan. Semua itu terpulang dari sudut mana kita ambil,dari aspek apa kita inginkan. Namun hakikatnya Allah telah berpesan dalam Al-Quran ,iaitu orang yang paling baik adalah orang yang yang paling bertakwa kepadaku. Maka terpulang kepada hati dan diri untuk menilai dimana letaknya sebuah kecantikan.

JANGAN PELIK

Pabila tiba majlis perkahwinan, orang mahu melihat siapakah gadis suntingan. Cantikkah? Siapa pula jejaka idaman. Hensemkah? Tika  kita melihat sering kali kita terkejut akan pilihan mereka. Bila melihat si wanita, alangkah cantiknya seindah bidadari di taman syurga namun si suami tidaklah segagah jejaka dari kayangan. Perkara itu lumrah kerna jodoh itu ditangan tuhan. Dan Allah menyampaikan firmannya dalam alkitab Furqan, lelaki yang baik itu untuk perempuan yang baik dan lelaki yang jahat pula untuk wanita yang jahat . Semua itu di bawah kekuasaanya. Di bawah lembayung qada’ dan qadarnya.

HAKIKAT SEBUAH KECANTIKAN

Cukupkah hanya sekadar wajah yang manis? Pada hematku jika indah rupa namun kotor akhlaknya…bukanlah ia dikatakan sebuah kecantikan.Itulah sebabnya sering kita melihat baru berkahwin sudah berpisah.Sedangkan isterinya tidak kalah sama seperti puteri kayangan. Ayuh kita ubah persepsi cantik itu  melalui ukuran teguhnya iman, cerlangnya akhlak bukanlah hanya wajah semata-mata. Kecantikan luaran itu hanya sebagai bonus tambahan sahaja. Apa istimewa cantik tapi tak bahagia. Lebih baik kurang cantik namun baik akhlaknya dan hidup ceria dan bahagia di samping rakan dan keluarga.

Hakikatnya cantik itu subjektif. Mata yang melihat, hati yang menilai.Cuma bagiku cantik = iman + akhlak+ rupa(bonus). Jadi terpulang pada anda untuk menilai hakikat sebuah kecantikan.


0 comments:

Post a Comment