Salam sayang
untuk Thalhah
Alhamdulillah
syukur kepada tuhan masih memilih saya untuk
hadir ke madrasah Ramadhan. Istimewanya Ramadhan kali ini adalah berbeza
dengan sebelumnya. Bumi Syam menjadi medan destinasi. Jika dahulu di Malaysia berdamping
bersama keluarga dengan juadah yang pelbagai, namun di sini suasanya lebih
memupuk perasaan syukur. Solat subuh seakan solat Jumaat, berbuka sekadar
termampu dan suasana membaca Al-Quran merancakkan suasana ibadah dibulan ini.
Orang arab nampaknya meraikan Ramadhan dengan penuh kemeriahan .
Malam ketiga
Ramadhan, saya telah menghadiri iftar
jami’e bersama rakan-rakan seperjuangan untuk meraikan perpisahan Abang Hadi
yang akan kembali ke ‘France’. Bagi saya, dia adalah seorang yang sangat saya
kagumi. Dengan tutur katanya yang lembut dan sikap dan akhlaknya yang ditonjolkan telah berjaya menambat hati yang lembut ini .Walaupun
penyampaiannya sedikit mendatar dan perlahan tetapi isi penyampaiannya sangat mantap. Semuanya
diambil dari layar kehidupan bukan hanya sekadar teori yang dicedok dari muka
buku. Dia melayani semua orang seolah sudah mengenali mereka sekian lama.
Jarang saya berjumpa orang yang bila berjumpa sekali sudah mampu menghafal nama
mereka. Namun abang Hadi ada kelebihan itu. Mungkin itu salah satu faktor saya
mengkaguminya. Sesungguhnya, banyak mutiara nasihat yang dilontar buat pedoman
untuk saya dan sahabat-sahabat dalam menyelami serta menggali makna kehidupan
sebagai hamba.
Antaranya
ialah:(diolah mengikut ayat sendiri)
1
- Dunia ini tempat bermain kepada sesiapa yang mahu bermain , tetapi bagi si hamba dunia ini adalah ladang untuk menyemai amal , sampai suatu masa sudah tentu akan dihitungnya. Oleh itu, berlelah-lelahlah kita di dunia kerna kita hakikatnya adalah hamba tuhan dan berehat-rehatlah di sana kerana di situ hakikatnya adalah tempat yang abadi.
- Kita berukhwah atas dasar akidah, andai bersua sekali sudah terasa keakrabannya. Bila berpisah terasa pilunya hati persis wanita kehilangan kekasihnya. Bila kita bertemu wajah, terasa iman meningkat, terasa roh semangat menghangat lantas berpadu menjadi simbol kekuatan tali ukhwah kita bersama.
- Sentiasa bermuhasabah dalam menghitung kealpaan dan kekhilafan yang dilakukan supaya kita menjadi insan yang harinya lebih baik dari semalam dan hari esoknya lebih menjanjikan kebaikan untuk diri kita bersama.
- Sejarah itu adalah sebuah pentas silam yang perlu sentiasa dimuhasabah dan diteliti supaya ianya tidak berulang. Biarlah generasi mendatang mengambil iktibar daripada kesilapan kita dan tidak mengulanginya. Andai kata mereka melakukan kesilapan sekurang-kurangnya kesilapan itu adalah kesilapan baru yang boleh diambil pelajaran oleh generasi selepas mereka.
Thalhah sebijak bapanya
Thalhah itulah
gelaran nama yang dikalung untuk anak abang Hadi. Saya
selalu cemburu apabila melihat kanak-kanak seusia Thalhah. Suci dalam fitrah.
Tanpa dosa dan kesumat. Riang bermain tanpa memikirkan masalah. Bila kehendak
tidak diikuti, maka deraian air mata akan mengalir bersama teriakan. Tetapi
dari situ juga saya banyak belajar dari mereka, iaitu mereka mempunyai
cita-cita besar walaupun kudratnya tidaklah sehebat mana. Misalannya, andai
kata mereka ingin memanjat kerusi, mereka akan cuba sedaya upaya mereka
walaupun sememangnya kerusi itu tinggi dan kelihatan tidak mampu dipanjatnya.
Mungkin orang dewasa perlu lebih banyak belajar dari kanak-kanak dalam mencapai
impian. Oleh itu, nasihat kepada diri dan sahabat, janganlah menganjak ketika sudah mula melangkah,andai
jatuh tidak terus tersungkur mengalah , namun terus bangkit untuk melonjak
lebih tinggi, demi mencapai impian setinggi langit. Yakin bahawa pertolongan
Allah itu sangat dekat kepada hamba-hambanya yang betul-betul mengharap
pertolongan tuhan.
Sebelum kalam bisu menutup bicara, izinkan
tinta berkata, salam sayang untuk
Thalhah, moga kita berjumpa lagi……….