Monday, July 23, 2012

Salam Sayang Untuk Thalhah

Salam sayang untuk Thalhah
    
   Alhamdulillah syukur kepada tuhan masih memilih saya untuk  hadir ke madrasah Ramadhan. Istimewanya Ramadhan kali ini adalah berbeza dengan sebelumnya. Bumi Syam menjadi medan destinasi. Jika dahulu di Malaysia berdamping bersama keluarga dengan juadah yang pelbagai, namun di sini suasanya lebih memupuk perasaan syukur. Solat subuh seakan solat Jumaat, berbuka sekadar termampu dan suasana membaca Al-Quran merancakkan suasana ibadah dibulan ini. Orang arab nampaknya meraikan Ramadhan dengan penuh kemeriahan .
   
    Malam ketiga Ramadhan, saya telah  menghadiri iftar jami’e bersama rakan-rakan seperjuangan untuk meraikan perpisahan Abang Hadi yang akan kembali ke ‘France’. Bagi saya, dia adalah seorang yang sangat saya kagumi. Dengan tutur katanya yang lembut dan sikap dan akhlaknya  yang ditonjolkan  telah berjaya menambat hati yang lembut ini .Walaupun penyampaiannya sedikit mendatar dan perlahan tetapi  isi penyampaiannya sangat mantap. Semuanya diambil dari layar kehidupan bukan hanya sekadar teori yang dicedok dari muka buku. Dia melayani semua orang seolah sudah mengenali mereka sekian lama. Jarang saya berjumpa orang yang bila berjumpa sekali sudah mampu menghafal nama mereka. Namun abang Hadi ada kelebihan itu. Mungkin itu salah satu faktor saya mengkaguminya. Sesungguhnya, banyak mutiara nasihat yang dilontar buat pedoman untuk saya dan sahabat-sahabat dalam menyelami serta menggali makna kehidupan sebagai hamba.

     Antaranya ialah:(diolah mengikut ayat sendiri)
1   
  •        Dunia ini tempat bermain kepada sesiapa yang mahu bermain , tetapi bagi si hamba dunia ini adalah ladang untuk menyemai amal , sampai suatu masa sudah tentu akan dihitungnya. Oleh itu, berlelah-lelahlah  kita di dunia kerna kita hakikatnya adalah hamba tuhan dan  berehat-rehatlah di sana kerana di situ hakikatnya adalah tempat yang abadi.
  •           Kita berukhwah atas dasar akidah, andai bersua sekali sudah terasa keakrabannya. Bila berpisah terasa pilunya hati persis wanita kehilangan kekasihnya. Bila kita bertemu wajah, terasa iman meningkat, terasa roh semangat menghangat lantas berpadu menjadi simbol kekuatan tali ukhwah kita bersama.
  •            Sentiasa bermuhasabah dalam menghitung kealpaan dan kekhilafan yang dilakukan supaya kita menjadi insan yang harinya lebih baik dari semalam dan hari esoknya lebih menjanjikan kebaikan untuk diri kita bersama.
  •          Sejarah itu adalah sebuah pentas silam yang perlu sentiasa dimuhasabah dan diteliti supaya ianya tidak berulang. Biarlah generasi mendatang mengambil iktibar daripada kesilapan kita dan tidak mengulanginya. Andai kata mereka melakukan kesilapan sekurang-kurangnya kesilapan itu adalah kesilapan baru yang boleh diambil pelajaran oleh generasi selepas mereka.
                                       
Thalhah sebijak bapanya
     
      Thalhah itulah gelaran  nama  yang dikalung untuk anak abang Hadi. Saya selalu cemburu apabila melihat kanak-kanak seusia Thalhah. Suci dalam fitrah. Tanpa dosa dan kesumat. Riang bermain tanpa memikirkan masalah. Bila kehendak tidak diikuti, maka deraian air mata akan mengalir bersama teriakan. Tetapi dari situ juga saya banyak belajar dari mereka, iaitu mereka mempunyai cita-cita besar walaupun kudratnya tidaklah sehebat mana. Misalannya, andai kata mereka ingin memanjat kerusi, mereka akan cuba sedaya upaya mereka walaupun sememangnya kerusi itu tinggi dan kelihatan tidak mampu dipanjatnya. Mungkin orang dewasa perlu lebih banyak belajar dari kanak-kanak dalam mencapai impian. Oleh itu, nasihat kepada diri dan sahabat, janganlah  menganjak ketika sudah mula melangkah,andai jatuh tidak terus tersungkur mengalah , namun terus bangkit untuk melonjak lebih tinggi, demi mencapai impian setinggi langit. Yakin bahawa pertolongan Allah itu sangat dekat kepada hamba-hambanya yang betul-betul mengharap pertolongan tuhan.
     
     Sebelum kalam bisu menutup bicara, izinkan tinta berkata, salam sayang untuk Thalhah, moga kita berjumpa lagi……….

1 comments:

Unknown said...

Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
Jika ya, silahkan kunjungi website ini www.kumpulbagi.com untuk info selengkapnya.

Oh ya, di sana anda bisa dengan bebas mendowload music, foto-foto, video dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)

Post a Comment